Monday, August 11, 2008

Senyum dan Gelak Ketawa...




"Ibn Mas'ud meriwayatkan dari Auf bin Abdullah bahawa biasanya Rasulullah S.A.W. tidak tertawa melainkan senyum simpul dan tidak suka melerek iaitu tidak menoleh kecuali dengan semua wajahnya."

Hadis itu menunjukkan bahawa senyum itu sunat dan tertawa berbahak-bahak adalah makruh. Maka itu seseorang yang sihat akal dilarang bergelak tertawa kerana mereka banyak bergelak ketawa di dunia akan banyak menangis di akhirat. Orang yang banyak menangis di dunia mereka akan banyak tertawa di syurga.

Jika seseorang sibuk memikirkan perkara itu, maka dia tidak banyak tertawa kerana banyak tertawa bukan sifat seorang Mukmin. Seperti yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas r.a. "Sesiapa yang tertawa ketika membuat dosa, maka dia akan menangis ketika akan masuk neraka."

Menurut riwayat dari Ibrahim Annakhari beliau berkata: "Adakalanya seseorang mengeluarkan satu kalimah untuk mentertawakan orang di sekitarnya, maka Allah S.W.T. murka padanya lalu murka Allah itu merata kepada orang-orang yang di sekitarnya, yang tertawa bersamanya. Jika seseorang yang berkata kalimah yang di reda oleh Allah, maka ia mendapat rahmat dan rahmat Allah itu diperolehi juga oleh orang disekitarnya."

Islam memberi peringatan bahawa semakin kuat hilai dan tertawa seseorang itu, semakin hampir iblis dan syaitan sambil tertawa berbahak-bahak menari-nari untuk melalaikan dia. Maka itu kita perlu awas daripada bergelak tertawa kerana perbuatan itu mengandungi lapan bahaya:

1. Dicela oleh ulama dan orang yang sopan serta sempurna akal.
2. Memberanikan orang bodoh kepada kita.
3. Jika bodoh akan bertambah kebodohannya, jika alim akan berkurangan ilmunya kerana seorang alim yang tertawa bererti telah memuntahkan ilmunya.
4. Melupakan dosa- dosa yang lalu.
5. Melupakan mati dan akhirat.
6. Berani berbuat dosa kerana apabila tertawa nescaya
akan membekukan hati.
7. Menanggung dosa orang yang tertawa kerana tertawaan kita.
8. Akan banyak menangis di akhirat.

0 comments: